Ketika nota ini ditulis, kesan domino kejatuhan Presiden Zane Ben Ali dan Presiden Hosni Mubarak yang melanda dunia Arab
dan Afrika Utara, masih belum menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Dari Libya hinggalah ke Iran, kemarahan rakyat kian memuncak.
Banyak faktor yang menyebabkan kemarahan rakyat kian memuncak. Antaranya sikap pemimpin yang lupa kepada rakyatnya. Ketika sang Presiden menikmati makanan
mewah dan tidur bertilamkan tilam yang empuk, banyak rakyat kebuluran dan tidak nyenyak tidur kerana memikirkan nasib hari esok. Dulu sang Presiden ini dipuja, kini mereka dibenci.
Kebanyakan negara-negara tersebut diperintah dibawah undang-undang tentera bagi membolehkan mereka kekal berkuasa. Pilihanraya hanya sekadar untuk menunjukkan bahawa mereka dipilih rakyat sedangkan mereka yang tidak bersetuju dengan sang Presiden telah lama didiamkan melalui pelbagai cara.
Sedar atau tidak, kita dapat saksikan bagaimana polis dunia Amerika Syarikat memainkan peranan kononnya sebagai penegak demokrasi. Lihat sahaja bagaimana White House memberi tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak untuk meletak jawatan ketika ribuan rakyat berhimpun di Medan Tahrir sedangkan selama 30 tahun pemerintahannya, Amerika lah yang
memberi sokongan dan bantuan.
Banyak pengajaran dari apa yang berlaku di dunia Arab. Apa yang berlaku kepada kedua-dua Presiden tersebut adalah ulangan sejarah dalam zaman dan skrip berbeza. Belajarlah untuk berhenti ketika kita masih disayangi dan bukannya pergi ketika dibenci tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

jangan lupa peranan isteri pemimpin yang boros dan mengaut kekayaan negara. ada antara mereka berselindung di sebalik ‘program rakyat’ tetapi membolot beratus juta duit pembayar cukai.